Sunday, June 20, 2010

Usahawan Tani Berjaya

Pada 16 Jun 2010 saya berpeluang berjumpa seorang usahawan tani berjaya di kawasan Kota Tinggi, Johor. Pertemuan yang tidak dirancang itu berlaku di sebuah kedai kopi di bandar Kota Tinggi.

Berusia 40’an usahawan tani yang saya panggil Saudara Jas ini merupakan seorang yang bersemangat tinggi dan gigih untuk berjaya dalam bidang pertaniaan yang diceburinya sejak kecil lagi. Kata-kata beliau yang paling penting adalah, ‘usahawan akan menjadikan modal RM1 kepada RM1 juta’. Rahsianya melalui pengurusan perniagaan baik, jimat cermat, pelaburan berterusan dan pembesaran perniagaan serta sentiasa ingat dan bersyukur kepada Allah SWT.

Pengalaman beliau sendiri yang bermula dari usaha mengambil upah mengerjakan kebun sehinggalah hari ini beliau mempunyai kebun sawit lebih 50 ekar, ternakan lembu dan kambing dan perniagaan ‘trading’ yang memberikan pulangan agak lumayan kepadanya. Kalau ‘perniagaan multi-level kata tidurpun duit masuk sebab down-line bergerak’ maka Saudara Jas ‘tidurpun pokok sawit mengeluar hasil, lembu-kambing semakin membesar dan trading pun ada untung’ – hasil beliau membangunkan perniagaan tani berpanas, berhujan tanpa menghiraukan keletihan secara gigih dan berterusan.
Anak-anak beliau kini bekerja bersamanya dalam menguruskan beberapa kegiatan perniagaannya. Beliau memberi anak-anaknya gaji yang setimpal dengan kelulusan dan kegigihan mereka. Ini termasuk kemudahan kereta masing-masing.

Mengenai tenaga kerja dalam bidang pertanian, keperluan memang banyak oleh para petani atau pekebun kecil tetapi mereka tidak terdaya untuk membawa secara terus dari luar negara berbanding dengan ladang-ladang besar. Masalah ini mesti diatasi melalui kombinasi membenarkan petani membawa warga kerja asing dan mekanisasi pertanian secara berterusan untuk membolehkan bidang pertanian berkembang pesat dan menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar makan halal untuk dunia.

Dalam konteks dakwah dan pembangunan ekonomi ummah, Saudara Jas telah membuktikan bahawa perniagaan pertanian dan berasaskan pertanian boleh memberikan rezeki yang lumayan untuk diri dan keluarganya serta para puluhan orang pekerjanya. Inilah yang kita semua renungkan dan ambil iktibar. Kepada penggiat atau usahawan pertanian, teruskan usaha,kukuhkan ‘iman, ilmu dan amal’ InsyaAllah akan berjaya dunia akhirat.

No comments:

Post a Comment