Friday, July 16, 2010

Manfaat Menanam Pokok - Bertuahnya Petani

Dalam sebuah hadis - dari Jabir RAH meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Seorang Islam yang menanam sebatang pokok, kemudian apa sahaja yang dimakan dari hasil pokok itu adalah sedekah dan apa yang dicuri sebahagiannya juga adalah menjadi sedekah dan apa yang dimakan oleh binatang-binatang juga adalah menjadi baginya sedekah dan apa yang dimakan oleh burung-burung juga akan menjadi sedekah. Pendek kata apa sahaja yang keluar daripada pokok itu lalu dikurangi (buah-buahnya), maka akan menjadi baginya pahala sedekah. Riwayat Muslim.

Besar sungguh rahmat Allah kepada para petani dan orang-orang Islam yang menanam pokok. Bukan sahaja hasil dan produk dari hasil pokok tersebut mendapat pahala sedekah, apa yang dimakan atau diambil oleh pihak lain dan binatang juga dikira mendapat pahala sedekah.

Oleh itu pada hemat saya bolehlah petani itu sentiada dalam ibadah dengan sedekahnya yang berpanjangan melalui usaha penanamannya. Jadi memang bertepatan usaha kerajaan menggalakkan para petani untuk mengembangkan pertaniaannya pada skala komersil bukan sahaja untuk mendapat hasil pendapatan yang banyak tetapi juga pahala sedekah yang banyak secara berterusan selama pokok itu hidup.

Secara nyatanya para pekerja petani juga InsyaAllah mendapat pahala sedekah yang sama kerana mereka yang sama-sama mengerjakan ladang-ladang atau kebun-kebun para petani.

Semoga hadis Nabi Mohamad SAW ini akan menjadi sumber motivasi kepada para petani dan penanam pokok Islam yang bekerja kuat dengan kudrat dan semangat gigih membangunkan usaha pertanian atau pekerjaan mereka. Mereka sebenarnya beribadah dalam bekerja. Beruntunglah mereka dunia dan akhirat.