Tuesday, June 1, 2010

Harapan Para Pengusaha Yang Menyertai MINI-MAHA

Semasa di Segamat minggu lepas saya mengambil peluang dua kali mengunjungi program MINI-MAHA di Dataran Segamat yang bermula dari hari Jumaat hingga Ahad.

Secara zahirnya program MINI-MAHA Segamat pada hemat saya sangat berkesan dalam mendedahkan usaha-usaha perniagaan IKS Industri Asas Tani (IAT) kepada penduduk Segamat dan kawasan sekitarnya. Disamping bertemu denganpengunjung-pengunjung (ada yang seisi keluarga) dari Segamat dan Johor lainnya, saya juga berjumpa dengan pengunjung-pengunjung dari Negeri Sembilan dan Melaka. Ini bermakna program MINI-MAHA telah menjadi salah satu program yang dinantikan oleh masyarakat. Syabas kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (KPIAT).

YB. Dato’ Seri Noh bin Hj Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani telah merasmikan MINI-MAHA Segamat pada hari Sabtu pagi. Antara beberapa cadangan beliau adalah usaha menggerakkan ‘Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Hasil Pertanian dan IAT di kawasan Segamat. Mungkin boleh juga dibina pusat pengeluaran IAT berasaskan durian di Segamat sesuai dengan kepopularitian Segamat sebagai ‘Bandar Durian’. Beliau juga menyampaikan beberapa bantuan Kerajaan kepada para petani dan usahawan yang menyertai beberapa skim yang disediakan.

Pada sebelah petangnya Dato’ Noh dan para pegawai kanan KPIAT juga melawat beberapa usahawan asas tani di sekitar Segamat. Beberapa cadangan, idea dan bantuan telah diberikan bagi membantu para usahawan tersebut. Ringkasnya, Dato’ Seri Noh begitu prihatin dan proaktif serta menjana sinergi dalam melaksanakan tanggungjawabnya kepada rakyat.

Berbalik kepada usahawan, mereka rata-rata mempunyai matlamat serampang dua mata dalam menyertai pameran. Pertama dapat menjual barangan yang dipamerkan sehingga habis stok mereka. Kedua mereka juga mencari ‘rakan-rakan rangkaian ‘ dalam bentuk pengedar, peruncit, stockist dan sebagainya bagi memperluaskan rangkaian masing-masing di Segamat. Itulah usaha dan wawasan mereka. Saya difahamkan ada diantara usahawan telah berjaya berbincang dengan orang-orang atau syarikat yang berpotensi untuk menjadi ‘rakan-rakan rangkaian’ dalam memasarkan produk di Segamat dan kawasan sekitar. Para usahawan b egitu positif dengan penyertaan mereka di MINI-MAHA. Saya ucapkan selamat berjaya kepada mereka semua.

Pandangan kami di ‘Ekonomi...+-=’ usahawan kita memerlukan sokongan para pengunjung untuk membeli produk-produk dan perkhidmatan yang dipasarkan. Contohnya, kepada yang mempunyai wang lebih, belilah produk-produk IKS IAT Melayu/Bumiputera/Islam dengan banyak, penuhkan boot kereta. Kalau tidak habis untuk kegunaan keluarga, sedekahkan kepada mereka yang kurang upaya membeli atau dermakan kepada rakan-rakan dimasjid atau surau masing-masing. Sokongan seperti ini akan melonjakkan pengembangan keusahawanan dan ekonomi pengusaha serta menepati konsep ibadah ‘fardu kifayah’ kepada peniaga dan pembeli.

No comments:

Post a Comment