Friday, August 6, 2010

Duit Berjalan


Memelihara lembu secara lepas masih boleh dilakukan dikawasan luar bandar seperti yang kami http://agrobionews.blogspot.com jumpa di Terengganu.

Itulah yang kami gelarkan ‘Duit Berjalan’. Kalau seekor hitung panjang bernilai RM1,500.00, lembu yang berjalan tu sudah lebih RM5,000.00.

Menurut seorang penduduk kawasan tersebut ada kalanya ‘Duit Berjalan’ itu dirompak oleh golongan yang memilih jalan mudah untuk mencari wang.

Friday, July 16, 2010

Manfaat Menanam Pokok - Bertuahnya Petani

Dalam sebuah hadis - dari Jabir RAH meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Seorang Islam yang menanam sebatang pokok, kemudian apa sahaja yang dimakan dari hasil pokok itu adalah sedekah dan apa yang dicuri sebahagiannya juga adalah menjadi sedekah dan apa yang dimakan oleh binatang-binatang juga adalah menjadi baginya sedekah dan apa yang dimakan oleh burung-burung juga akan menjadi sedekah. Pendek kata apa sahaja yang keluar daripada pokok itu lalu dikurangi (buah-buahnya), maka akan menjadi baginya pahala sedekah. Riwayat Muslim.

Besar sungguh rahmat Allah kepada para petani dan orang-orang Islam yang menanam pokok. Bukan sahaja hasil dan produk dari hasil pokok tersebut mendapat pahala sedekah, apa yang dimakan atau diambil oleh pihak lain dan binatang juga dikira mendapat pahala sedekah.

Oleh itu pada hemat saya bolehlah petani itu sentiada dalam ibadah dengan sedekahnya yang berpanjangan melalui usaha penanamannya. Jadi memang bertepatan usaha kerajaan menggalakkan para petani untuk mengembangkan pertaniaannya pada skala komersil bukan sahaja untuk mendapat hasil pendapatan yang banyak tetapi juga pahala sedekah yang banyak secara berterusan selama pokok itu hidup.

Secara nyatanya para pekerja petani juga InsyaAllah mendapat pahala sedekah yang sama kerana mereka yang sama-sama mengerjakan ladang-ladang atau kebun-kebun para petani.

Semoga hadis Nabi Mohamad SAW ini akan menjadi sumber motivasi kepada para petani dan penanam pokok Islam yang bekerja kuat dengan kudrat dan semangat gigih membangunkan usaha pertanian atau pekerjaan mereka. Mereka sebenarnya beribadah dalam bekerja. Beruntunglah mereka dunia dan akhirat.

Sunday, June 20, 2010

Usahawan Tani Berjaya

Pada 16 Jun 2010 saya berpeluang berjumpa seorang usahawan tani berjaya di kawasan Kota Tinggi, Johor. Pertemuan yang tidak dirancang itu berlaku di sebuah kedai kopi di bandar Kota Tinggi.

Berusia 40’an usahawan tani yang saya panggil Saudara Jas ini merupakan seorang yang bersemangat tinggi dan gigih untuk berjaya dalam bidang pertaniaan yang diceburinya sejak kecil lagi. Kata-kata beliau yang paling penting adalah, ‘usahawan akan menjadikan modal RM1 kepada RM1 juta’. Rahsianya melalui pengurusan perniagaan baik, jimat cermat, pelaburan berterusan dan pembesaran perniagaan serta sentiasa ingat dan bersyukur kepada Allah SWT.

Pengalaman beliau sendiri yang bermula dari usaha mengambil upah mengerjakan kebun sehinggalah hari ini beliau mempunyai kebun sawit lebih 50 ekar, ternakan lembu dan kambing dan perniagaan ‘trading’ yang memberikan pulangan agak lumayan kepadanya. Kalau ‘perniagaan multi-level kata tidurpun duit masuk sebab down-line bergerak’ maka Saudara Jas ‘tidurpun pokok sawit mengeluar hasil, lembu-kambing semakin membesar dan trading pun ada untung’ – hasil beliau membangunkan perniagaan tani berpanas, berhujan tanpa menghiraukan keletihan secara gigih dan berterusan.
Anak-anak beliau kini bekerja bersamanya dalam menguruskan beberapa kegiatan perniagaannya. Beliau memberi anak-anaknya gaji yang setimpal dengan kelulusan dan kegigihan mereka. Ini termasuk kemudahan kereta masing-masing.

Mengenai tenaga kerja dalam bidang pertanian, keperluan memang banyak oleh para petani atau pekebun kecil tetapi mereka tidak terdaya untuk membawa secara terus dari luar negara berbanding dengan ladang-ladang besar. Masalah ini mesti diatasi melalui kombinasi membenarkan petani membawa warga kerja asing dan mekanisasi pertanian secara berterusan untuk membolehkan bidang pertanian berkembang pesat dan menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar makan halal untuk dunia.

Dalam konteks dakwah dan pembangunan ekonomi ummah, Saudara Jas telah membuktikan bahawa perniagaan pertanian dan berasaskan pertanian boleh memberikan rezeki yang lumayan untuk diri dan keluarganya serta para puluhan orang pekerjanya. Inilah yang kita semua renungkan dan ambil iktibar. Kepada penggiat atau usahawan pertanian, teruskan usaha,kukuhkan ‘iman, ilmu dan amal’ InsyaAllah akan berjaya dunia akhirat.

Tuesday, June 1, 2010

Harapan Para Pengusaha Yang Menyertai MINI-MAHA

Semasa di Segamat minggu lepas saya mengambil peluang dua kali mengunjungi program MINI-MAHA di Dataran Segamat yang bermula dari hari Jumaat hingga Ahad.

Secara zahirnya program MINI-MAHA Segamat pada hemat saya sangat berkesan dalam mendedahkan usaha-usaha perniagaan IKS Industri Asas Tani (IAT) kepada penduduk Segamat dan kawasan sekitarnya. Disamping bertemu denganpengunjung-pengunjung (ada yang seisi keluarga) dari Segamat dan Johor lainnya, saya juga berjumpa dengan pengunjung-pengunjung dari Negeri Sembilan dan Melaka. Ini bermakna program MINI-MAHA telah menjadi salah satu program yang dinantikan oleh masyarakat. Syabas kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (KPIAT).

YB. Dato’ Seri Noh bin Hj Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani telah merasmikan MINI-MAHA Segamat pada hari Sabtu pagi. Antara beberapa cadangan beliau adalah usaha menggerakkan ‘Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Hasil Pertanian dan IAT di kawasan Segamat. Mungkin boleh juga dibina pusat pengeluaran IAT berasaskan durian di Segamat sesuai dengan kepopularitian Segamat sebagai ‘Bandar Durian’. Beliau juga menyampaikan beberapa bantuan Kerajaan kepada para petani dan usahawan yang menyertai beberapa skim yang disediakan.

Pada sebelah petangnya Dato’ Noh dan para pegawai kanan KPIAT juga melawat beberapa usahawan asas tani di sekitar Segamat. Beberapa cadangan, idea dan bantuan telah diberikan bagi membantu para usahawan tersebut. Ringkasnya, Dato’ Seri Noh begitu prihatin dan proaktif serta menjana sinergi dalam melaksanakan tanggungjawabnya kepada rakyat.

Berbalik kepada usahawan, mereka rata-rata mempunyai matlamat serampang dua mata dalam menyertai pameran. Pertama dapat menjual barangan yang dipamerkan sehingga habis stok mereka. Kedua mereka juga mencari ‘rakan-rakan rangkaian ‘ dalam bentuk pengedar, peruncit, stockist dan sebagainya bagi memperluaskan rangkaian masing-masing di Segamat. Itulah usaha dan wawasan mereka. Saya difahamkan ada diantara usahawan telah berjaya berbincang dengan orang-orang atau syarikat yang berpotensi untuk menjadi ‘rakan-rakan rangkaian’ dalam memasarkan produk di Segamat dan kawasan sekitar. Para usahawan b egitu positif dengan penyertaan mereka di MINI-MAHA. Saya ucapkan selamat berjaya kepada mereka semua.

Pandangan kami di ‘Ekonomi...+-=’ usahawan kita memerlukan sokongan para pengunjung untuk membeli produk-produk dan perkhidmatan yang dipasarkan. Contohnya, kepada yang mempunyai wang lebih, belilah produk-produk IKS IAT Melayu/Bumiputera/Islam dengan banyak, penuhkan boot kereta. Kalau tidak habis untuk kegunaan keluarga, sedekahkan kepada mereka yang kurang upaya membeli atau dermakan kepada rakan-rakan dimasjid atau surau masing-masing. Sokongan seperti ini akan melonjakkan pengembangan keusahawanan dan ekonomi pengusaha serta menepati konsep ibadah ‘fardu kifayah’ kepada peniaga dan pembeli.

Tuesday, March 9, 2010

Cili Padi


Cili Padi adalah herba ataupun sayuran paling popular untuk ditanam secara fertigasi di Malaysia. Lihatlah hasilnya yang merah dan banyak itu. Perana cili padi sangat penting kepada masyarakat Melayu. Contoh masakan dengan cili padi adalah ‘Sambal Belacan’, ‘Lemak Cili Padi’, 'Tumisan' dan sebagainya.

Sayur Kang Kong


Sayur Kang Kong merupakan salah satu sayuran daun hijau popular di Malaysia dan negara-negara Asia. Cara masakan biasanya ‘Goreng Kang Kong’ atau ‘Celur dalam air panas untuk Yong Tau Foo’. Agrobionews mengalu-alukan resepi masakan Kang Kong yang enak-enak untuk dikongsi bersama.

Monday, March 8, 2010

Baru




Blog ini akan mempaparkan berita, cerita, analisa, promosi dan pelbagai perkara berkaitan pertanian dan perniagaan industri asas tani serta bioteknologi dari semasa kesemasa untuk manafaat semua.